Air mata Wan Azizah ‘tumpah’ kerana musuh dalam selimut

0
2

PENGERUSI Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak dapat menahan sebak dan mengalirkan air mata ketika menyentuh isu ‘musuh dalam selimut’ ketika menyampaikan ucapan dalam Kongres Wanita PKR pagi ini.

Bekas Presiden PKR itu berkata, ahli parti itu diingatkan supaya tidak menghancurkan segala yang dibina bersama selama ini serta perlu mengelak permusuhan sesama sendiri yang hanya merugikan.

“Kasih saya pada parti tuhan saja yang mengetahui, mesti ada menang dan kalah mana-mana pertandingan itu biasa.

“Saya biasa kalah dalam hidup tapi tak bermaksud saya memusuhi,” katanya.

Walaupun tidak menyebut secara terperinci insiden yang dimaksudkan itu, tetapi ia dipercayai mempunyai kaitan dengan pertikaian berhubung keputusan pemilihan parti, baru-baru ini.

“Kita bukan bermusuh, kita parti yang sama, kalau nak tinggalkan (parti), tinggalkan lah, tak apa. Tapi jangan jadi musuh dalam selimut, api dalam sekam.

“Jangan hancurkan apa yang kita sama-sama bina,” katanya.

Terdahulu, Kongres Nasional Ke-16 PKR diadakan tiga hari bermula hari ini selepas ditangguhkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang dilaksanakan kerajaan bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

Kongres tahunan ke-16 itu bermula dengan Kongres Wanita membabitkan ucapan daripada Dr Wan Azizah diikuti ucapan dasar Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh.

Sementara itu, Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut bermula hari ini dirasmikan Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, diikuti ucapan dasar ketuanya Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Lebih 2,000 perwakilan dijangka mengambil bahagian dalam Kongres Tahunan Wanita PKR dan AMK yang bermula serentak pada 8.30 pagi tadi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here