‘Jadikan pengajaran, perihal agama dan kaum jangan disentuh’ – Asyraf Wajdi

0
2
bernama

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memuji tindakan pantas pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan pelawak Rizal van Geyzel susulan video menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

Menerusi hantaran ringkas di Facebooknya, Asyraf Wajdi berkata, tindakan tegas itu penting sebagai pengajaran kepada semua pihak supaya tidak mempersenda dan menyentuh perihal agama dan kaum di negara ini.

“Syabas PDRM dan pihak berkuasa pantas bertindak. Moga jadi pengajaran agar agama dan perihal kaum jangan sesekali disentuh dan dipersendakan,” katanya.

Semalam, media melaporkan, Rizal ditahan bagi membantu siasatan berkait tiga video yang dikatakan menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

Peguamnya Ramkarpal Singh berkata, Rizal yang juga pengasas bersama Crackhouse Comedy Club itu ditahan di lokap Dang Wangi.

“Dia ditahan sekitar tengah hari tadi (semalam) selepas memberi keterangan di Balai Polis Dang Wangi,” katanya.

Rizal akan dibawa ke mahkamah pagi ini untuk perintah reman.

Sumber polis mengesahkan bapa kepada empat anak itu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas D5 Bukit Aman.

Siasatan terhadap Rizal dibuat sehari selepas seorang wanita yang menimbulkan kontroversi semasa persembahan komediri didakwa menghina Islam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here