‘Saya tiada share satu sen dalam kelab komedi’ – Afdlin

0
2

PELAKON dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki tampil menyatakan pendiriannya mengenai bantahan penutupan sementara Kelab Komedi Crackhouse, yang terpalit kontroversi wanita didakwa menghina Islam dalam persembahan solo di kelab itu.

Menurutnya, dia pernah mengunjungi kelab itu dua kali dan mendapati tiada ‘content’ yang keterlaluan ketika berada di situ.

“Kalau saya tahu awal, saya rasa saya takkan berada di posisi yang sama.

“Kali pertama saya bawa Datuk Seri Aliff Syukri untuk buat stand up dan sekali lagi untuk menonton satu show kawan-kawan.

“Memang tiada konten yang teruk dan menghina. Saya bercakap mengenai Crackhouse kerana saya dulu ada restoran komedi halal di sebuah kompleks beli-belah. Ia untuk keluarga dan halal tanpa alkohol,” katanya secara langsung dalam program The Amin Idris Show di Facebook malam tadi.

Afdlin berkata, kelab komedi itu adalah tempat pelawak baharu mengetengahkan bakat dan dia mengakui perniagaan komedi bukan satu perkara mudah.

Mengulas adakah dia ada sebarang ‘share’ dalam kelab itu, pelakon filem Buli Balik itu menegaskan tidak mempunyai kepentingan langsung dalam kelab komedi tersebut seperti sangkaan ramai pihak.

“Saya tiada share satu sen dalam kelab ini. Pendirian saya sebagai NGO, nasib adik-adik yang cari rezeki ini bagaimana? Saya tak buat show pun kat situ.

“Saya memandang mengenai periuk nasi orang lain. Tak semestinya mengenai industri komedi sahaja. Kalau ada orang susah yang perlukan bantuan, saya akan bantu,” katanya.

Berkenaan video seorang lelaki, Rizal Van Geyzel yang tular membuat persembahan menyentuh isu perkauman, Afdlin berkata setiap individu yang sengaja mencetus pergolakan kaum patut diambil tindakan.

“Jika mereka salah humban dalam jel. Saya tak tahu menahu tentang konten dia. Dia pernah dulu bekerja dengan saya semasa zaman program A Ha!

“Masa itu dia baru bermula. Tapi saya tak tahu bila masa dia buka kelab ini. Saya cakap satu benda sahaja. Kepada pelawak-pelawak, kau buat, kau berani tanggung.

“Jadi kalau didapati salah, ambil tindakan. Kalau tak salah, terserah pada mahkamah.

“Pada saya apabila saya dapat informasi, saya rasa tak adil dikata tempat itu orang menghina Islam. Yang ditonjolkan satu dua sahaja. Yang beratus lagi konten yang baik bagaimana?,” soalnya.

Kelab Komedi Crackhouse disita dan digantung operasinya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 10 Julai lalu.

Ianya kerana kelab itu tidak mempunyai lesen hiburan selaras Seksyen 17, Akta Hiburan 1992.  

Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, premis tersebut telah beroperasi tanpa lesen sejak 2014 hingga 2017. 

Sebelum ini, Kelab Komedi Crackhouse menyifatkan tindakan menyita dan menggantung operasinya oleh DBKL tanpa sebarang notis bertulis sebagai satu keputusan prejudis dan tidak adil.

Crackhouse dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya telah sanggup dan bersedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa yang menyiasat tindakan individu berkenaan yang tidak boleh diterima sama sekali. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here