Felda peruntuk RM6.1 juta ambil alih pusat mengumpul getah dari FGV – PM

0
1

FELDA akan memperuntukkan RM6.1 juta dana pengurusan tahun ini bagi mengambil alih pusat mengumpul getah (PMG) dari FGV Rubber Industries Sdn Bhd.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata dengan pengambilalihan itu Felda dan FGV Rubber Industries mencapai persetujuan mengurangkan kos operasi kilang sebanyak 23 sen bagi setiap kilogram getah kering dengan tambahan 5 sen apabila mencapai sasaran bulanan.

“Keseluruhan pengurangan 28 sen ini akan memberikan tambahan pendapatan RM11.2 juta bagi 10,707 peneroka tanaman getah,” katanya ketika Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan di Felda Rentam, Bera, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Felda telah memperuntukkan dana pusingan sebanyak RM10 juta bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada usahawan dalam kalangan generasi baharu Felda untuk meningkatkan kapasiti atau untuk memulakan perniagaan.

Katanya, pinjaman tanpa faedah tersebut diberikan dengan nilai minimum RM5,000 hingga maksimum RM20,000 mengikut pakej.

“Usahawan belia Felda dari seluruh negara yang berminat boleh mula membuat permohonan bermula pada Ogos 2022,” ujarnya.

Beliau berkata, RM7.6 juta sewaan bulanan yang telah dibayar oleh 2,025 penghuni projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang akan dikutip selepas ini dijadikan deposit apabila mereka membeli kediaman tersebut.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan di Felda Rentam, Bera, Pahang

“Sebagai contoh, bayaran sewaan selama 36 bulan berjumlah RM10,800 akan dijadikan deposit lantas mengurangkan pembiayaan satu unit rumah tengah yang berharga RM90,000 kepada RM79,200 sahaja.

“Bagi baki 1,400 unit PGBF yang belum disiapkan dengan kos pembangunan keseluruhan RM204 juta, Felda akan meneruskan projek-projek ini melalui inisiatif pembiayaan swasta di mana pihak pemaju akan menanggung kos pembinaan tanpa memerlukan dana daripada Felda,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri turut mengumumkan dana berjumlah RM20 juta diperuntukkan menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan sebagai cagaran kepada pinjaman-pinjaman perumahan yang bakal dibuat oleh generasi baharu Felda.

Ujarnya, peruntukan itu bagi membantu generasi baharu dan memudahkan proses pembiayaan bagi pembinaan rumah di lot generasi baharu Felda.

“Oleh itu, mereka tidak perlu menyediakan cagaran bagi membuat pinjaman tertakluk sehingga dana ini habis dimanfaatkan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here