Jangan biarkan kumpulan yang permain, hina Islam ‘membiak’ – Idris Ahmad

0
3

KUMPULAN biadap yang mempermainkan dan menghina agama Islam serta Nabi Muhammad SAW tidak boleh dibiarkan ‘membiak’ subur di negara ini, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Menurutnya, sesiapa yang melakukan perkara berkenaan perlu dikenakan tindakan mengikut undang-undang.

“Siapa yang permain dan menghina ajaran Islam, hina nabi wajib kita mengambil tindakan mengikut undang-undang.

“Insya-Allah mereka yang biadab dengan Islam kita tidak boleh biar kumpulan ini membiak subur,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau bersyukur majoriti umat Islam di Malaysia begitu sensitif soal akidah.

Di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, seorang wanita didakwa menghina Islam dengan menanggalkan pakaian dan tudung dalam sebuah persembahan komedi baru-baru ini.

Siti Nuramira Abdullah, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terpertuduhan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menghina Islam.

Wanita tersebut, didakwa menghina Islam sewaktu membuat persembahan di Kelab Komedi Crackhouse, Taman tun Dr Ismail itu akan dituduh di Mahkamah Sesyen Siber.

Sementara itu, teman lelakinya, Alexander Navin Vijayachandran, pula didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor, juga pada hari ini.

Lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dilaporkan turut tidak mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.

Sebelum ini, tular rakaman video memaparkan Siti Nuramira mempersendakan Islam dalam persembahan komedi berdiri di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail.

Dalam video berdurasi 54 saat itu, wanita berkenaan pada mulanya bertudung dan memakai baju kurung mendakwa telah menghafal 15 juzuk al-Quran, menanggalkan pakaian sehingga mencolok mata. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here