Mangsa maut kemalangan 7 kenderaan babitkan 4 beranak

0
2

MANGSA yang maut dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan termasuk sebuah treler di Kilometer 277.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dari Ipoh menghala ke Simpang Pulai, petang tadi adalah empat beranak.

Mereka dikenali Rahim Ramli, 60, pesara polis, isterinya Siti Petimah Omar, 59, serta dua anak perempuannya, Nor Nadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, empat beranak terbabit menaiki kereta jenis Proton Persona dan dikatakan dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah ke Kuala Lumpur.

Difahamkan suami isteri itu dalam perjalanan untuk menghantar seorang anak perempuan mereka yang baru mendapat kerja di ibu kota.

Kesemua mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dibawa pulang ke Permatang Pasir, Permatang Pauh, Pulau Pinang untuk pengebumian.

Kemalangan maut itu membabitkan enam kereta dan sebuah treler, namun tiada mangsa lain dilaporkan cedera setakat ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here