JAWATANKUASA Bersama akan ditubuhkan antara Malaysia dan Arab Saudi bagi merangka dasar berhubung keselamatan makanan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya, perancangan itu antara dibincangkan dalam pertemuannya dengan Menteri Pertanian Arab Saudi, Abdulrahman Abdulmohsen A. AlFadley, hari ini.
“Malaysia-Arab Saudi mempunyai hubungan istimewa yang terjalin sekian lama, bukan sahaja dalam konteks hubungan antara rakyat kedua-dua negara (people-to-people) tetapi juga merangkumi hubungan ekonomi yang luas.
“Saya dan AlFadley melihat banyak potensi kerjasama dalam bidang pertanian dan industri makanan yang boleh diterokai bersama.
“Saya bersetuju Malaysia dan Arab Saudi untuk bekerjasama dalam kerangka kerja keselamatan makanan dengan menubuhkan satu Jawatankuasa Bersama bagi melihat serta merangka dasar berhubung keselamatan makanan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Ismail Sabri berkata, dalam kunjungan hormat itu AlFadley juga menyentuh tentang prospek ‘pelaburan berbalik’ yang boleh diterokai oleh Malaysia dalam mengatasi isu keselamatan makanan yang kini dihadapi oleh seluruh dunia.
“Saya mengalu-alu cadangan AlFadley untuk bekerjasama dalam kerangka keselamatan makanan memandangkan Malaysia mempunyai potensi yang besar dalam pertanian termasuk mempunyai banyak tanah yang boleh diusahakan,” katanya. – Malaysiapost

