PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi penghormatan terakhir kepada bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dengan menandatangani buku takziah di kediaman rasmi Duta Besar Jepun ke Malaysia, hari ini.
Beliau diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah hadir di kediaman Duta Besar Jepun Katsuhiko Takahashi.
Perkara itu dikongsikan Saifuddin di laman Facebooknya yang turut menandatangani buku takziah buat bekas Perdana Menteri Jepun yang meninggal dunia pada Jumaat akibat ditembak.
“Bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di kediaman Duta Jepun bagi memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Shinzo Abe.
“Bagi pihak rakyat Malaysia, kami akan mengingati Abe atas hubungan rapat yang dibina antara negara kita. Kami mengucapkan takziah kepada keluarganya, dan rakyat Jepun. Sumbangan serta legasi beliau akan kekal selamanya,” kata Saifuddin.
Abe, 67, disahkan meninggal dunia pada 5.03 petang waktu tempatan, selepas ditembak ketika berucap dalam satu kempen politik di bandar raya Nara, Jepun. – Malaysiapost
Kunjungi bahagian Resam Hidup untuk baca cerita yang terkini dan menarik

