MAHKAMAH Rayuan Paris, semalam membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan ‘Final Award’ bertarikh 28 Februari 2022 kepada waris Kesultanan Sulu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menjelaskan bahawa keputusan itu sekaligus menjadikan aset dan kedaulatan negara masih terpelihara.
Beliau berkata, asas keputusan Mahkamah Rayuan Paris adalah Final Award tersebut akan menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.
“Perintah Penggantungan itu adalah hasil daripada pelbagai tindakan perundangan yang diambil oleh Kerajaan Malaysia bermula dari tuntutan waris Kesultanan Sulu difailkan bagi menamatkan segala tuntutan dan memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.
“Oleh itu, kesan daripada Perintah Penggantungan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan Paris pada 12 Julai 2022, Final Award tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara sehingga keputusan muktamad oleh Mahkamah Paris berkenaan dengan permohonan pembatalan Final Award yang dibuat oleh Kerajaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa tidak pernah mengiktiraf tuntutan dibuat pihak berkenaan dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat.
Beliau berkata, berikutan itu, Kerajaan Malaysia telah mengambil pelbagai tindakan perundangan termasuk membatalkan pelantikan penimbang tara dan permohonan untuk mengenepikan ‘Partial Award on Jurisdiction’ bertarikh 25 Mei 2020 yang dikeluarkan oleh Dr Stampa.
“Berikutan tindakan-tindakan perundangan itu, Mahkamah Tinggi Madrid, Sepanyol, pada 29 Jun 2021, telah membatalkan pelantikan penimbang tara Dr Stampa yang memutuskan semua prosiding timbang tara dan apa-apa keputusan Dr Stampa, termasuk Final Award adalah tidak sah, terbatal dan tidak boleh dikuatkuasakan di bawah undang-undang.
“Dr Stampa tidak menghormati dan tidak mempedulikan keputusan-keputusan Mahkamah di Madrid dan sebaliknya memindahkan tempat prosiding timbang tara (seat of arbitration) ke Paris,” katanya.
Menurutnya, selain itu, prosiding jenayah terhadap Dr Stampa juga difailkan oleh Kerajaan Malaysia bagi kesalahan menghina mahkamah di Mahkamah Jenayah di Madrid dan prosidingnya masih berjalan.
“Kerajaan Malaysia kini sedang membuat persiapan yang rapi untuk pendengaran bagi pembatalan Final Award yang mana tarikh pendengarannya belum ditetapkan.
“Kerajaan Malaysia akan terus mengambil semua langkah yang sewajarnya termasuk tindakan perundangan untuk menamatkan segala tuntutan tersebut dan mempastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara,” katanya. – Malaysiapost

