2 anak syarikat Petronas dirampas bukti ‘jasa’ Peguam Negara lantikan PH

0
2

PUTERI Umno menyifatkan laporan dua anak syarikat Petronas di Luxemborg yang dirampas waris kesultanan Sulu, sebagai ‘jasa’ Peguam Negara lantikan Pakatan Harapan (PH), Tommy Thomas.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan sehubungan itu berkata sesal kemudian tidak lagi berguna kerana nasi sudah menjadi bubur.

“Ini Jasa dan bakti Tommy Thomas peguam negara lantikan DAP PH yang akan dikenang sampai bila bila.

“Ingatlah, jangan ‘bereksperimen’ ketika buang undi pada PRU15 nanti,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Semalam Petronas mengesahkan kedua-dua anak syarikatnya, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à r.l. seperti dilaporkan dirampas waris kesultanan Sulu, menerima notis ‘Saisie-arret’ kelmarin.

Syarikat petroleum Malaysia itu berkata, kedua-dua anak syarikat itu, melupuskan semua aset di Republik Azerbaijan dan hasil dari pelupusan itu telah dipulangkan dengan sewajarnya.

Waris Sultan Sulu sebelum ini menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) dari Malaysia melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.

Berdasarkan laporan Financial Times yang berpangkalan di London, pasukan peguam penuntut merampas dua anak syarikat milik Petronas yang diperbadankan di Luxemborg iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus yang dianggar bernilai AS$2 bilion (RM8.9 bilion).

Pada 13 Mac lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoal tindakan Tommy menyatakan rasa kesal kepada peguam Sulu selepas Malaysia menghentikan bayaran RM5,300 setahun dalam surat kepada peguam di United Kingdom (UK) yang mewakili keturunan Sulu yang menyaman negara pada tahun 2019.

Najib tidak faham mengapa Tommy mengaku Malaysia kesal dalam surat kepada peguam Sulu sedangkan bayaran tersebut dihentikan pada tahun 2013 selepas insiden pencerobohan Lahad Datu.

Najib turut kesal kerana selain kerajaan PH tidak menghantar wakil bagi kes Mahkamah Sepanyol, surat Tommy pada tahun 2019 telah dijadikan bukti dan alasan utama oleh peguam keturunan Sulu.

Ini kerana surat tersebut disifatkan sebagai pengakuan bahawa negara telah “salah” dan Malaysia “kesal”.

Surat tahun 2019 itu juga digunakan oleh peguam UK untuk menyangkal pendirian Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun bahawa identiti waris terbabit diragui. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here