‘Annuar Musa ada tanya Umno, MKT sebelum tandatangan?’ – Isham

0
1

SEORANG ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mahu Tan Sri Annuar Musa memberi penjelasan adakah beliau telah merujuk kepada kepimpinan parti sebelum menandatangani perjanjian jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dengan Bersatu.

Ia susulan nama Ketua Umno Ketereh itu disebut oleh pemimpin Bersatu sebagai antara saksi serta menandatangani perjanjian tersebut mewakili Umno.

Ahli MKT Umno, Isham Jalil berkata perjanjian yang didakwa itu bukan perkara kecil dan bukan sahaja melibatkan Ahli Parlimen kerajaan, malah memberi kesan besar kepada parti politik terutama Umno.

“Ramai orang tanya saya berkenaan isu perjanjian jawatan TPM dengan Muhyiddin yang ditandatangani beberapa pemimpin kerajaan, iaitu sama ada MKT Umno tahu atau tidak berkenaan perjanjian ini semasa ia ditandatangani.

“Jawapan saya ialah saya tidak boleh komen sebab saya tidak tahu tentang perjanjian ini dan tidak berada dalam MKT semasa ia ditandatangani.

“Saya ada tanya beberapa rakan ahli MKT, mereka pun kata mereka tidak tahu menahu akan perjanjian ini,” katanya dalam hantaran Facebook.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendedahkan Annuar adalah saksi kepada perjanjian dimeterai antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Bersatu.

Pendedahan itu susulan Muhyiddin mengesahkan pertemuannya dengan Perdana Menteri, bagi membincangkan lantikan jawatan baru termasuk jawatan TPM

Kata Muhyiddin, beberapa perkara penting telah dibangkitkan dalam pertemuan tersebut berlandaskan kandungan perjanjian antara Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri.

Sementara itu, Isham menasihatkan Annuar agar membuat penjelasan rasmi berhubung dakwaan yang mengaitkan namanya dalam perjanjian lantikan TPM.

“Jika surat itu tidak betul, sila perjelaskan atau nafikan supaya ia tidak menjadi polemik di dalam parti. Akar umbi dan rakyat ingin tahu. Ini bukan isu yang boleh disorok di bawah karpet. Jangan khianat parti dan membelakangi parti dan akar umbi Umno,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here