Tak semua perkara perlu beri subsidi – Tun M

0
1

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan parti politik ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menggunakan wang bagi merasuah pengundi tetapi memberi alasan ia adalah subsidi.

Beliau berkata, terdapat perkata tertentu yang boleh diberi subsidi dan ada juga sebaliknya.

“Contohnya kerajaan boleh beri subsidi untuk kawal harga barangan yang naik berpunca dari pandemik.

“Tetapi apabila subsidi diberi dengan sebab untuk jadi popular dan menang pilihan raya, itu salah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan ketika sesi dialog bersama pelajar Seoul National University dan sekumpulan pelajar tajaan Malaysia di Korea Selatan sempena Asian Leadership Conference.

Mengulas lanjut Dr Mahathir berkata, adalah menjadi satu jenayah jika subsidi yang digunakan bertujuan merasuah pengundi.

“Rakyat perlu bijak menilai antara subsidi dan rasuah,” ujarnya.

Mengulas pertanyaan mengenai sistem demokrasi, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tersebut memaklumkan ia bukanlah sistem yang sempurna.

Beliau menambah, baginya kestabilan negara jauh lebih penting selepas pilihan raya diadakan daripada saling berebut jawatan.

“Umpamanya dalam pilihan raya sudah pasti ada yang menang dan kalah. Pihak yang kalah perlu terima kekalahan dan tunggu sehingga pilihan raya akan datang. Tetapi biasanya pihak yang kalah tak terima kekalahan sebaliknya tuduh pihak yang menang menipu.

“Disebabkan itu timbul cubaan untuk menafikan kemenangan dan protes, tunjuk perasaan, demonstrasi, cubaan ambil alih Kerajaan dan sebagainya. Ini menyebabkan negara tidak stabil dan banyak kesan buruk,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here