Malaysia tak perlukan karya langgar sensitiviti kaum, agama – Zahid

0
2
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

MALAYSIA tidak perlukan sebuah karya yang melanggar sensitiviti agama masyarakat berbilang kaum, kata Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata tindakan menanggalkan tudung di atas pentas selepas mengaku diri muslim dan manghafal ayat al-Quran adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Tiada apa yang berkualiti di sebalik persembahan seperti itu sekadar mengundang rasa kurang senang.

“Jika ada lagi karya seumpamanya elok dipadam sahaja dan carilah karya yang menarik untuk manfaat masyarakat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Beliau merujuk tindakan seorang wanita didakwa membuka pakaian dan tudung di hadapan penonton selepas mendakwa dirinya beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran di sebuah kelab komedi di ibu negara baru-baru ini.

Wanita tersebut telah ditahan dan dijangka didakwa di mahkamah hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata Malaysia mengalu-alukan karya seni yang mampu memberi inspirasi kepada anggota masyarakat.

Katanya, inspirasi untuk terus bersemangat dan bermotivasi dalam melangkahi arus kehidupan penuh cabaran.

“Malaysia mengalu-alukan karya seni yang dapat memberi ilham dan mencetus fikiran kepada kebaikan.

‘Karya seni yang bukan sekadar menarik, tetapi dalamnya terkandung sentuhan murni yang amat berkesan.

“Sama ada karya yang berkualiti dalam bentuk penulisan, lakonan, nyanyian dan segala-galanya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here