WANITA yang tular menanggalkan pakaian dan tudung ketika persembahan komedi tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta untuk proses pendakwaan.
Ia berhubung tindakannya didakwa menghina Islam dalam program dianjurkan Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail, baru-baru ini.
Siti Nuramira Abdullah, 26, tiba jam 9 pagi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan kawalan anggota polis.
Wanita itu dilihat memakai sut berwarna hitam dan kemeja-t jingga.
Semalam polis telah melengkapkan kertas siasatan dan merujuknya kepada Pejabat Peguam Negara disusuli arahan untuk menuduh suspek di mahkamah mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan sama, teman lelaki suspek juga akan dituduh di mahkamah hari ini mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum ini, tular rakaman video wanita itu mempersendakan Islam dalam persembahan komedi berdiri di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail.
Dalam video berdurasi 54 saat itu, wanita berkenaan pada mulanya bertudung dan memakai baju kurung mendakwa telah menghafal 15 juzuk al-Quran, menanggalkan pakaian sehingga mencolok mata.
Susulan itu, wanita tersebut dilaporkan telah direman selama tiga hari bagi membantu siasatan. – Malaysiapost

