Jangan politikkan filem Mat Kilau – Nasrul Ali

0
2

TIMBALAN Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy diingatkan agar tidak mengambil kesempatan mempolitikkan filem Mat Kilau untuk mendapatkan perhatian termasuk dengan mula memainkan api perkauman.

Ketua Pergerakan Wira PUTRA Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, berkata Ramasamy cuba mengolah berdasarkan sudut pandangannya yang jelas menunjuk penafian terhadap wira Melayu iaitu Mat Kilau yang memperjuang semangat Nasionalisme Melayu terhadap Tanah Melayu dan Raja-Raja Melayu.

“Agenda mereka dari dahulu sentiasa cuba memanipulasi sejarah dan menolak ketuanan Melayu di Malaysia. Mat Kilau adalah salah satu simbolik yang mampu membangkitkan semula semangat Nasionalisme orang Melayu dan dia mengetahuinya.

“Oleh sebab itu dia cuba mengalihkan pandangan dengan mengatakan Mat Kilau itu pemimpin petani,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemimpin DAP itu mungkin buta sejarah dan tidak menghayati sejarah kepimpinan Melayu di tanah tempat dia mencari nafkah hari ini.

“Filem ini secara terang-terangan telah menerapkan segala nilai dan gambaran sebenar kepimpinan Tanah Melayu dari akar umbi hingga ke pembesar dengan akhlak mulia, ilmu agama yang tinggi dan juga sifat strategis.

“Persoalannya di mana yang di kata Ramasamy yang menggambarkan Mat Kilau nasionalis berfikiran sempit? Adakah kerana kemahiran orang-orang Melayu itu adalah dengan memanfaatkan sumber alamnya itu membuatkan beliau katakan Mat Kilau pemimpin petani?

“Atau kenyataan ini sengaja untuk mengalih perhatian dari tajuk sebenar untuk menyebar api perkauman tentang pertikaian watak askar berketurunan Sikh yang dibawa British dari India?” soalnya.

Nasrul Ali berkata, Mat Kilau adalah wira rakyat yang datang dari golongan kebanyakan yang mahu mempertahankan bukan sahaja hasil yang di cukai atau diambil sesuka hati semasa penjajahan British.

“Tetapi demi menjaga kepentingan sistem politik dan pentadbiran orang Melayu dan Raja-Raja Melayu yang di calar dengan sistem kolonial yang langsung tidak sama dengan fahaman reformasi atau revolusi dibawa British seperti disebut oleh Ramasamy.

“Wira PUTRA berpesan kepada Ramasamy janganlah gentar dengan sejarah dan main sentimen perkauman tetapi berbanggalah kerana anda dapat duduk makan semeja, bekerja bersama dan mencari rezeki dengan aman di Persekutuan Tanah Melayu ini.

“Filem ini mungkin sekadar sebahagian perkara yang boleh membakar jiwa rakyat supaya tidak hilang jati diri bernegara dan nilai Patriotisme dikala Malaysia mula goyah oleh kerana perebutan kuasa, rasuah, salah guna kuasa dan kejatuhan ekonomi,” katanya.

Terdahulu Ramasamy dalam satu hantaran di Facebook hari ini, berkata peranan Mat Kilau ditafsir secara selektif oleh pembikin filem untuk membawa pulang tema bangsa, agama dan negara.

Menurutnya, tema sebegitu sangat sesuai dengan nasionalisme kontemporari yang sempit seperti yang dilihat dalam perjuangan Umno, Bersatu dan Pas. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here