Warga emas ditembak mati lepas main mahjung

0
2

LELAKI warga emas mati ditembak selepas bermain mahjung di rumah rakannya di Amarin Kiara, Jalan Desa Kiara 1, Kuala Lumpur, hari ini.

Mangsa berusia 63 tahun, ditemui terbaring berlumuran darah di sebelah kenderaannya dalam kejadian jam 12.09 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata siasatan awal mendapati lelaki terbabit adalah warga tempatan dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Sebelum kejadian mangsa mengunjungi rumah rakannya di Amarin Kiara untuk bermain mahjung. Selesai bermain mahjung, mangsa keluar dari rumah rakannya dan bergerak keluar ke keretanya yang diparkir di luar kawasan Amarin Kiara.

“Saksi di tempat kejadian mengatakan melihat mangsa melintas dihadapannya untuk ke tempat letak kereta. Tidak berapa lama kemudian, saksi mendengar tiga das tembakan dari arah tempat letak kereta mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, saksi terbabit kemudian mendapati mangsa sudah terbaring di sebelah keretanya dalam keadaan berlumuran darah.

Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan pihaknya kini sedang giat mengesan suspek yang terlibat.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here