Umno, BN bukan pusat kestabilan politik negara – Wan Fayhsal

0
3

Najamuddin Mohd Nor

KETUA ARMADA Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menolak pandangan bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) merupakan pusat kestabilan politik negara.

Sebaliknya beliau berkata, ketidakstabilan politik dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dicetuskan sendiri oleh segelintir pemimpin Umno yang rakus untuk berkuasa.

“Itu satu pandangan yang toho (cetek) kerana punca ketidakstabilan politik yang terjadi dalam kerajaan campuran hari ini banyak berpunca daripada segelintir kepimpinan Umno yang rakus itu.

“Lihat sahaja lah dulu mereka tak ada jawatan Timbalan Perdana Menteri.. Mereka desak. Bila dapat jawatan itu mereka tekan lagi Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sampai jatuh Tan Sri Muhyiddin akibat penarikan sokongan oleh sebahagian Ahli Parlimen Umno atas arahan Presiden mereka,” katanya.

Beliau berkata dalam program temubual Sudut Pandang anjuran Malaysiapost, malam tadi.

Mengulas mengenainya, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara berkata, segelintir pemimpin Umno seolah-olah ‘sakit mata’ melihat kestabilan yang diusahakan Ismail Sabri dalam kerajaan campuran hari ini.

“Dan ini akhirnya menimbulkan ketegangan bila mana Datuk Seri Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri beliau cuba merangkumkan kesemua pihak dalam kerajaan tetapi masih diasak setiap hari oleh Ketua Pemuda Umno.

“Mereka melihat kerajaan yang terbina pada hari ini walaupun Perdana Menteri adalah dari Umno adalah sebuah kerajaan yang asing di mata mereka.

“Jadi perkara ini memang tidak bertanggungjawab kerana permainan politik yang dimainkan itu dalam keadaan kita susah, mengorbankan kestabilan yang telah dicapai oleh semua pihak dalam kerajaan ketika ini,” katanya.

Terdahulu, menjelang tamatnya tempoh memorandum persefahaman (MoU) politik antara kerajaan dengan pembangkang hujung bulan ini, Umno dilihat terus mendesak Perdana Menteri mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) segera bagi mengembalikan kestabilan politik negara.

Bagaimanapun, Ismail Sabri dalam ucapan pada Perhimpunan Agung Umno Khas Mei lalu berkata, beliau tidak akan terlewat sesaat untuk menekan butang pembubaran Parlimen jika BN telah bersiap sedia menghadapinya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here