Zahid kenang hubungan dengan Shinzo Abe

0
2

BEKAS Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe yang meninggal dunia semalam, pernah menyatakan hasrat untuk melihat Malaysia terlibat secara aktif dalam industri halal di Jepun.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu dinyatakan Abe kepadanya ketika Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

“Shinzo Abe sebagai Perdana Menteri Jepun (ketika itu) mahu Malaysia dan Jepun memperluaskan kerjasama dalam industri halal.

“Shinzo Abe turut memberitahu saya tentang pentingnya Malaysia-Jepun bekerjasama menangani ancaman pelampau dan serangan siber,” katanya dalam hantaran Facebook.

Ahmad Zahid berkata, namun semalam seluruh dunia telah menerima perkhabaran yang amat menyedihkan dan memilukan mengenai kematian Abe.

“Saya yang turut berdukacita dengan apa terjadi mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Shinzo Abe serta rakyat Jepun.

“Semoga mereka tabah menghadapi waktu-waktu sukar dan amat menyedihkan ini,” katanya.

Semalam, Abe disahkan meninggal dunia akibat cedera parah selepas ditembak individu tidak dikenali dalam satu insiden.

Pengumuman itu dibuat oleh pegawai kanan dari Parti Demokratik Liberal (LDP), lapor stesen penyiaran Jepun, NHK.

Abe meninggal dunia di hospital di bandar Kashihara, wilayah Nara pada usia 67 tahun.

Abe ditembak kira-kira jam 11.30 pagi waktu tempatan di Nara, barat Jepun. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here