Tolak Anwar, Pejuang akan umum gabungan PRU dalam masa terdekat

0
2

PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan mengumumkan gabungan yang akan dibentuk parti itu bagi menghadapi PRU15 dalam tempoh terdekat.

Timbalan Presidennya, Datuk Marzuki Yahya, berkata gabungan itu merangkumi parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun orang perseorangan.

“Sudah tentu kita kena terima hakikat sukar untuk kita menangi PRU akan datang kalau bersendirian. Bagaimanapun kita juga sedang merangka dan akan wujudkan satu gabungan untuk kita menyertai PRU.

“Gabungan kita tidak terhad kepada parti politik, tetapi lebih menyeluruh iaitu menerima individu atau persatuan serta kumpulan yang mempunyai naratif atau matlamat sama iaitu membetulkan negara ini, mengembalikan sebuah negara yang pernah dihasilkan oleh pemimpin parti kami iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri.

“InsyaAllah kita akan buat pengumuman dalam sedikit masa lagi gabungan yang akan kita gerakkan menuju pilihan raya umum,” katanya memetik MalaysiaKini.

Mengulas mengenai ‘khemah besar’, Marzuki berkata, strategi itu bukan satu-satunya jalan penyelesaian dalam menyelesaikan kemelut politik ketika ini, selain PH dilihat sudah hilang fokus.

Katanya, Pejuang juga tidak boleh menerima cara pentadbiran Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya melihat khemah besar bukan salah satu jalan penyelesaian dalam kemelut politik sekarang ini. Semenjak Langkah Sheraton kita melihat PH seperti sudah hilang fokus terutamanya insiden yang berlaku sewaktu membuat undian bajet yang mana PH tiada keputusan yang jelas.

“Kita bersetuju dengan khemah besar tapi dalam masa sama kita tidak boleh terima dan setuju dengan cara pentadbiran Anwar,” katanya.

Pada 1 Jun lalu, Amanah mengumumkan parti itu akan terus berjuang untuk menyatukan parti pembangkang di bawah pendekatan khemah besar berkenaan.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, berkata strategi khemah besar tidak seharusnya dilihat membabitkan parti Pakatan Harapan (PH), sebaliknya perlu melibatkan Pejuang, Warisan dan Muda.

Bagaimanapun Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menolak cadangan supaya PKR dan PH menggunakan pendekatan khemah besar pada PRU15.

Katanya, PKR dan PH harus belajar daripada pengkhianatan yang berlaku dua tahun lalu, dipercayai merujuk kepada Langkah Sheraton apabila gabungan itu dikhianati oleh parti komponennya, iaitu Bersatu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here