Nilam Oshman
SUSULAN kejayaan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, pengarah filem box office itu, Syamsul Yusof dicadangkan untuk menyuntik ilham bagi menghasilkan lagi filem tokoh sejarah.
Pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam yang bangga dengan hasil kerja Syamsul itu berkata, beberapa tokoh atau pahlawan boleh difilemkan dan beliau berpendapat kisah Datuk Maharaja Lela atau nama sebenarnya, Pandak Lam Maharaja Lela Maulud dan Tok Janggut (Mat Hassan Munas) untuk diangkat ke layar perak.
“Saya cadangkan pejuang Pasir Salak, Datuk Maharaja Lela, yang digantung oleh British kerana membunuh Residen British pertama di Perak, JWW Birch.
“Jadi saya rasa Syamsul boleh buat kajian apakah dia boleh ambil Maharaja Lela sebagai wira negara. Ini Kerana dia juga menentang penjajahan British dan bagaimana (strategi) dia melawan mereka.
“Ataupun Tok Janggut, kisah dia juga dramatik kerana Tok Janggut ini seorang pemimpin Kelantan di Pasir Puteh.. dia menentang British habis-habisan sampai diserang dan mayatnya digantung secara terbalik untuk dipamer kepada umum.
“Episod Tok Janggut lagi banyak dari Mat Kilau, dan perjuangan beliau melibatkan orang-orang kampung,” katanya kepada Malaysiapost.
Sehubungan itu, Dr Ramlah berharap, Syamsul dapat mempertimbang kisah Datuk Maharaja Lela atau Tok Janggut untuk dijadikan filem.
“Saya menyokong Syamsul dan berharap dia terus kuatkan semangat dalam apa jua rintangan. Saya juga berharap sejarah negara akan hidup dalam minda kita melalui filem-filem,” katanya.
Setakat semalam filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mengumpul RM51.8 juta selepas hanya 13 hari tayangan pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei.
Ia sekali gus menjadikan drama aksi arahan Syamsul Yusof terbitan Studio Kembara Sdn Bhd sebagai filem Malaysia dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman.
Syamsul juga telah mengenepikan filem Munafik 2, juga arahannya ditayangkan pada 2018 mencatat kutipan jualan tiket lebih RM48 juta. – Malaysiapost

