Najamuddin Mohd Nor
ORANG politik kena ada perasaan simpati kepada rakyat yang sedang bergelut meneruskan kehidupan ketika ini, dakwa Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Ketua Armada Bersatu itu, berkata sekarang bukanlah masanya untuk berpolitik sebaliknya semua parti perlu memberi tumpuan membantu rakyat bangkit daripada kehidupan selepas dua tahun dilanda pandemik Covid-19.
Katanya, rakyat perlu diberi masa untuk membina kestabilan dalam kehidupan mereka yang terjejas sebelum ini, sekali gus menolak mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) awal.
“Rakyat sibuk nak hidup, cari duit cari rezeki… tak ada masa nak fikir pasal politik ni buat masa ini. Sebab itu rakyat marah kepada ahli politik macam saya. Sebab dilihat orang politik ini tak ada simpati kepada keperitan hidup rakyat.
“Jadi, berilah masa untuk rakyat bernafas. Berilah masa untuk mereka menerima bantuan-bantuan kerajaan. Berilah masa untuk kerajaan selesaikan masalah-masalah ini.
“Kalau tak selesai, rakyat undilah siapa yang rasa mampu. Buat masa ini beri ruang semua orang boleh hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program bual bicara Sudut Pandang anjuran Malaysiapost, malam tadi.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, ruang yang ada itu diharap dapat memberi kelegaan kepada rakyat untuk mereka keluar mengundi dengan hati lapang, tanpa ada perasaan yang marah atau prejudis ke atas mana-mana parti politik.
“(Justeru) rakyat menilai setiap parti yang bertanding dengan dasar dan janji yang ingin mereka usulkan kepada setiap polisi yang mereka tandingi,” katanya.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, apa yang terjadi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor perlu dijadikan pengajaran apabila rakyat yang muak terhadap politik telah memboikot untuk mengundi, sekali gus menyebabkan peratusan mengundi yang rendah.
“Pada saya tidak sesuai, Armada tidak bersetuju pendirian Umno yang mendesak dan memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bubarkan Parlimen atas sebab kita sudah melihat trend peratusan keluar mengundi yang rendah akibat persoalan-persoalan semasa yang menghambat rakyat dan pengundi.
“Ketika bulan Mac di PRN Johor masalah Covid-19, sekarang kalau nak bubar isu harga barang meningkat pula,” katanya.
Justeru, Wan Ahmad Fayhsal menegaskan, PRU15 perlu diadakan tahun hadapan untuk memberi peluang kepada rakyat memulihkan ekonomi dan menjalani kehidupan yang lebih stabil.
“Itu adalah jalan terbaik, ketika itu semua orang sudah kembali stabil. Buat masa ini hanya orang yang nak ‘lepaskan tengkuk’ dari kes mahkamah yang begitu risau PRU15 akan berlaku lambat,” katanya. – Malaysiapost

