Bekas PM Jepun ditembak ketika berucap

0
3

BEKAS Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe ditembak ketika berucap di bandar Nara, Jepun, hari ini.

Stesen penyiaran NHK melaporkan, Abe rebah dalam keadaan berdarah dan terus dikejarkan ke hospital berdekatan.

Bekas pemimpin itu sedang menyampaikan ucapan pada satu acara menjelang pilihan raya, apabila bunyi tembakan jelas kedengaran.

“Dia sedang berucap dan seorang lelaki datang dari belakang. Tembakan pertama berbunyi seperti mainan. Dia tidak jatuh dan ada bunyi dentuman besar. Tembakan kedua lebih jelas, anda boleh melihat percikan api dan asap.

“Selepas tembakan kedua, orang ramai mengepungnya dan memberinya urutan jantung,” kata seorang wanita muda di tempat kejadian memberitahu NHK.

Menurut laporan media tempatan pula, seorang lelaki berusia 40-an telah ditangkap kerana cubaan membunuh dan pistol telah dirampas daripadanya.

Beberapa media turut melaporkan Abe kelihatan ditembak dari arah belakang, mungkin dengan senapang patah.

Abe, 67, rebah dan berdarah dari leher, sumber dari Parti Liberal Demokratik (LDP) memberitahu agensi berita Jiji.

LDP mahupun polis tempatan tidak dapat mengesahkan laporan dengan segera.

Kerajaan berkata, pasukan petugas telah ditubuhkan susulan insiden itu dan jurucakap tertinggi kerajaan dijangka bercakap tidak lama lagi.

Abe, Perdana Menteri Jepun paling lama berkhidmat, memegang jawatan pada 2006 selama satu tahun dan sekali lagi dari 2012 hingga 2020. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here