MALAYSIA dan Turkiye sependapat untuk memberi sokongan berterusan kepada perjuangan Palestin menentang pencerobohan Israel di negara berdaulat berkenaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pendirian itu dinyatakan dalam pertemuannya dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan di Kompleks Istana Presiden, Ankara.

“Saya dan Presiden Erdogan berbincang mengenai isu antarabangsa dan kami bersependapat untuk memberi sokongan berterusan kepada perjuangan Palestin.
“Saya memaklumkan Malaysıa menghargai pendirian dan usaha Turkiye dalam membela rakyat Palestin.
“Kami bersetuju untuk terus menyelaras usaha ke arah menamatkan pendudukan rejim Zionis dan merealisasikan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ismail Sabri mengadakan lawatan rasmi ke Turkiye selama empat hari bermula 5 Julai lalu dan mengadakan pertemuan sulung dengan Erdoğan.
Sementara itu menurutnya, berhubung konflik antara Rusia dan Ukraine, Presiden Turkiye itu turut berusaha mencari jalan perdamaian bagi mengakhiri konflik berkenaan.
“Saya memuji usaha Presiden Erdogan untuk mencari jalan perdamaian bagi mengakhiri konflik ini.
“Kami bersetuju agar semua pihak yang terlibat mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan konflik yang menggugat keamanan sejagat,” katanya. – Malaysiapost

