Harga minyak sawit dunia jatuh, minyak masak botol wajar lebih murah

0
2
Minyak-minyak masak yang dijual dalam bentuk botol dan paket ketika tinjauan Malaysiapost hari ini.

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata harga minyak masak botol mampu diturunkan dengan signifikan.

Katanya ia susulan harga minyak sawit dunia jatuh mendadak daripada lebih RM7,000 ke RM4,000 satu tan sejak bulan lalu setelah Indonesia menarik balik larangan eksport dan perlu menghabiskan stok terkumpul ketika tempoh larangan eksport.

Sehubungan itu tegasnya, jik pengilang minyak masak tempatan meneruskan operasi dan mengambil kesempatan harga yang telah jatuh, harga bahan keperluan masakan itu mampu diturunkan.

“Harap kerajaan akan lebih tegas untuk memastikan pengilang tempatan berbuat demikian dan memastikan harga minyak masak daripada pengeluaran baharu ini akan turut diturunkan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata pengilang minyak sawit yang bertindak menghentikan operasi susulan kejatuhan mendadak harga minyak makan, digesa meneruskan semula operasi dengan segera.

Ketika membuat gesaan itu, beliau berkata tindakan pengilang tidak membeli buah tandan segar (BTS) bukan setakat menjejas stok sedia ada, malah memberi kesan negatif kepada kalangan pekebun kecil.

Harga minyak sawit mentah (MSM) mencatat penurunan bulanan terbesar dalam tempoh lebih 13 tahun pada Jun apabila merosot 22 peratus kepada RM4,922 (US$1,117.42) daripada RM6,632 (US$1,506.25). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here