Pemilihan PKR : Aplikasi ADIL diakui ada beberapa kelemahan – Fahmi

0
2

MAJLIS Pimpinan Pusat (MPP) PKR mengambil maklum bahawa aplikasi ADIL yang digunakan ketika Pemilihan 2022 adalah sistem dengan integriti utuh.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, bagaimanapun firma audit forensik memperakui wujud beberapa kelemahan pada peringkat pelaksanaan sistem tersebut.

“MPP menerima penjelasan penuh firma audit forensik bahawa langkah-langkah bersesuaian untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan tersebut telah diambil.

“Oleh yang demikian, MPP dengan ini menerima keputusan rasmi Pemilihan 2022 yang telah diumum JPP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fahmi berkata, sebahagian daripada 1,800 aduan berkaitan Pemilihan PKK 2022 yang diterima masih dalam penelitian Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

Katanya, MPP menerima jaminan bahawa JPP akan menyelesaikan aduan dan memberikan maklumbalas bertulis kepada semua yang mengemukakan aduan.

“MPP turut menerima penjelasan bahawa bagi kategori aduan yang terkait isu disiplin, hal tersebut akan dirujuk kepada Lembaga Disiplin,” katanya.

Berhubung Kongres PKR ke-16, Fahmi berkata tarikh asal bagi Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang dirancang pada 24 Jun serta Kongres Nasional pada 25 dan 26 Jun telah diubah.

Ujar beliau, perubahan itu bagi memberi ruang serta masa secukupnya kepada JPP dan firma audit forensik menyelesaikan aduan dan tidak sama sekali bertujuan melengahkan pengumuman keputusan Pemilihan.

“Maka MPP memutuskan Kongres Wanita dan AMK akan diteruskan pada 15 Julai dan Kongres Nasional pada 16 dan 17 Julai di IDEAL Convention Centre (IDCC), Shah Alam. Kesemua perwakilan termasuk dari Sabah dan Sarawak akan hadir secara fizikal.

“Kongres Keadilan ke-16 ini akan menyaksikan saf kepimpinan baharu mengambil alih tampuk kepimpinan parti, seterusnya menggariskan dasar serta halatuju parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here