14 individu ‘Geng Nicky’ lepas, bebas terlibat jenayah terancang

0
1

MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya melepas dan membebaskan 14 individu termasuk dua adik ahli perniagaan, Nicky Liow Soon Hee atas tuduhan terlibat kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’ lima tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said hari ini selepas peguam Datuk Rajpal Singh memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi 14 individu itu selaku perayu untuk melepas dan membebaskan mereka daripada pertuduhan tersebut, lapor Kosmo!

“Ini keputusan sebulat suara, perintah Mahkamah Tinggi (terdahulu) melepas tanpa membebaskan diketepikan. Kesemua perayu-perayu dilepas dan dibebaskan,” kata Kamaludin.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar selaku responden tidak membantah dan mengesahkan representasi perayu-perayu telah diterima AGC.

Rajpal Singh ketika ditemui media selepas prosiding berkata pihaknya menghantar representasi tersebut pada 29 Jun lalu.

Pada 30 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas tanpa membebaskan 14 individu itu termasuk empat warga China daripada tuduhan tersebut.

Mereka kemudian merayu terhadap keputusan itu dan memohon dilepas serta dibebaskan daripada pertuduhan.

Dua tertuduh yang merupakan adik Nicky adalah Datuk Liow Wei Kin dan Datuk Liow Wei Loon.

Tertuduh lain ialah Lee Han Keat, Lee Kam Onn, Datuk Lee Kum Weng, Eee Eng Chee, Dr Jovian Joris Tan Chern Chian, Datuk Loo Siew Chin, Lim Kang Li, Datuk Seri Andrew Lim Kim Ming serta empat warga China Huang Lei, Wang Yu Jun, Gu Xing Qiong serta Jiang Xue, yang berusia awal 20-an hingga 56 tahun.

Mengikut pertuduhan, 13 tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’ di kawasan SetiaWalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong antara 1 Januari 2017 dan 20 Mac 2021.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh, Andrew Lim didakwa membantu kumpulan jenayah sama di kawasan SetiaWalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di sini antara 1 Januari 2017 dan 29 Mac 2021, mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here