KERAJAAN negeri Terengganu dan Kelantan masing-masing menyumbang RM50,000 kepada kerajaan negeri Kedah sebagai tanda keprihatinan dan kebersamaan susulan bencana banjir yang melanda kawasan Baling, Isnin lalu.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar turut mezahirkan rasa dukacita dengan situasi banjir yang melanda negeri berkenaan yang menyebabkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa beberapa hari lalu.
“Sebagai tanda keprihatinan dan kebersamaan, kerajaan negeri dengan rendah hati menghulurkan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada Negeri Kedah.
“Selain itu, kerajaan negeri juga akan menghantar skuad sukarelawan untuk bantu kerja-kerja pembersihan pasca banjir di sana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa dan berharap semoga mereka yang terkorban ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.
“Mari kita doakan agar urusan mangsa-mangsa banjir dipermudahkan dan diberikan ketabahan menghadapi dugaan ini,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dalam satu kenyataan, turut merakamkan ucapan takziah kepada mangsa bencana banjir yang berlaku di negeri Kedah yang menyebabkan kehilangan jiwa dan kemusnahan harta benda.
“Sebagai tanda solidariti dan kebersamaan, kerajaan negeri bersetuju menyampaikan sumbangan RM50,000 kepada kerajaan negeri Kedah melalui sumbangan Tabung Serambi Mekah.
“Semoga usaha-usaha pasukan keselamatan dan sukarelawan dipermudahkan oleh Allah SWT bagi melancarkan operasi pemulihan pasca bencana,” katanya. – Malaysiapost

