Zahid persoal pendakwa raya tanya berulang kali supaya beliau ‘terperangkap’

0
1

BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempertikai tindakan pihak pendakwaan yang didakwa bersikap tidak adil kepadanya apabila menyoal balas dengan soalan sama berulang kali sehingga beliau ‘terperangkap’.

Beliau berkata demikian ketika Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffrey Ong bertanya soalan mengenai sumbangan dibuat oleh individu dan korporat kepada Yayasan Akalbudi bagi tujuan amal jariah, lapor Berita Harian.

Ia berkaitan cek diterima pengurup wang, Omar Ali Abdullah dan lejar menunjukkan wang RM3.8 juta dikreditkan ke dalam akaun pelanggan firma guaman, Lewis & Co untuk Yayasan Akalbudi.

Ketika disoal sama ada mengingati tarikh beliau diberitahu oleh Omar Ali bahawa cek dikeluarkan oleh seorang penderma adalah bagi tujuan amal jariah, Ahmad Zahid menjawab, “tidak.”

“Yang Arif, apabila seseorang itu diberi kepercayaan untuk mengkreditkan jumlah sumbangan bukan atas nama saya tetapi kepada sebuah yayasan dan kalau akaun yayasan itu dipegang oleh firma guaman (Lewis & Co) dan jelas ia sudah dikreditkan, adalah tidak bermoral jika kita bertanya siapakah pemberi dan adakah duit sudah dimasukkan atau tidak.

“Cukup dengan kepercayaan dan ada penyata bank dan lejar diperlihatkan kepada saya. Kita harus ada kepercayaan sebab yakin sumbangan itu adalah kerana ia adalah untuk amal jariah.

“Tidak adil kalau kamu bertanyakan soalan sama berulang kali, saya sudah sebutkan tadi Yang Arif. Apa yang ditanya kepada saya perkara yang berulang supaya saya terperangkap,” katanya.

Bagaimanapun Harris Ong membalas, mahkamah adalah tempat untuk tertuduh menuntut keadilan dan semua pihak mencari keadilan yang mana Ahmad Zahid tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Tambah Harris Ong, bagi tujuan mendapatkan keadilan, semua fakta perlu dibentang dan dikemukakan di mahkamah.

Pada peringkat itu, peguam Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Tek bangun dan membantah dan menyatakan Harris Ong perlu memasukkan komen itu dalam hujahannya kemudian.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bagaimana membenarkan komen tersebut kerana ia adalah susulan kepada kenyataan oleh Ahmad Zahid sendiri.

Ahmad Zahid, 68, dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Beliau didakwa menggunakan dana itu antara lainnya untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here