KAKAK kepada pelakon dan pengacara popular, Neelofa tidak menyangka video pendek yang dimuat naik di laman Instagram (IG) menimbulkan salah faham tentang hubungan adiknya bersama Pencetus Ummah (PU) Riz tau Haris Ismail sejak kebelakangan ini.
Menurut Nabila, video tersebut yang telah dirakam ketika majlis perkahwinan salah seorang adiknya, baru-baru ini, tidak membawa maksud wujud hubungan istimewa antara Neelofa dan PU Riz.
“Ia tidak bermaksud apa-apa. Haris hanya datang membaca doa dan semua jemputan memakai baju berwarna biru kecuali pemegang dulang.
“Saya juga tidak sangka video itu boleh tular. Disebabkan itulah saya rasa bersalah kerana ia berpunca daripada entri IG saya,” katanya.
Nabila berkata demikian ketika majlis pelancaran butik baharu Naelofar di pusat beli belah One Utama, Petaling Jaya, Khamis lalu.
Sejak kejadian itu, Nabila mengambil keputusan untuk lebih berjaga-jaga untuk memuat-naik sebarang hantaran di laman sosial malah berhati-hati ketika menjawab soalan orang ramai.
Menurutnya, keluarganya memang rapat dengan PU Riz sejak dia sering ke rumah ketika Ramadan lalu.
“Haris adalah imam kami ketika solat Tarawih. Saya juga selalu belajar agama dengannya kerana dia ustaz muda, jadi kami semua selesa bertanya dan bergurau dengan dia.
“Kami banyak berkongsi ilmu dan seronok belajar dengannya yang dipanggil ‘ustaz’,” katanya.
Nabila juga tidak menolak jika PU Riz atau sesiapa sahaja yang menjadi pilihan Neelofa untuk dijadikan suami kerana yang penting adalah lelaki itu mesti mempunyai ilmu agama yang tinggi.
Sementara itu, ibu Neelofa, Datin Noor Kartini Noor Mohamed yang turut di temui ketika majlis tersebut tidak mahu mengulas lanjut tentang spekulasi hubungan Neelofa dan PU Riz.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa Neelofa yang kini berumur 31 tahun sudah bersedia untuk bergelar isteri. -Malaysiapost

