KERAJAAN memutuskan hanya pemimpin dari luar negara yang bertaraf menteri dan ke atas sahaja dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan rasmi.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pemimpin terbabit juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau berkata, semua delegasi termasuk ketua delegasi diwajibkan membuat ujian swab tiga hari sebelum tiba di lapangan terbang antarabangsa negara.
“Sebaik tiba di lapangan terbang antarabangsa negara mereka sekali lagi diwajibkan menjalani ujian swab kedua.
“Kehadiran delegasi hanya bagi acara rasmi yang tidak melibatkan orang ramai.
“Mereka diringi dari lapangan terbang ke hotel seterusnya ke tempat acara dan ke lapangan terbang semula untuk dihantar pulang ke negara mereka.
“Kesemua kehadiran delegasi hanya dibenarkan melalui kapal terbang persendirian sahaja,” katanya pada sidang media, hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan membenarkan pemimpin negara yang mempunyai tugasan rasmi untuk ke luar negara, namun perlu mengikuti SOP yang ketat.
“Bagaimanapun, setelah kembali ke Malaysia, mereka perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari,” katanya. -Malaysiapost

