KERAJAAN belum bercadang untuk melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara berikutan peningkatan jumlah kes harian Covid-19.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jika dilihat mengikut analisa jumlah kes harian masyarakat tidak perlu panik.
“Walaupun rakyat akan marah saya sebab kata jangan panik tapi kita ambil contoh semalam di Kedah 129 kes. Jika dengar ia besar.
“Tapi bila tengok secara terperinci 128 kes itu adalah kes dalam penjara iaitu Kluster Tembok,” katanya dalam sidang media hari ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan masyarakat jangan leka dengan perkembangan yang dinyatakan dan perlu terus menjaga keselamatan diri supaya penularan Covid-19 dapat dikurangkan.
“Meskipun tidak terlalu panik, rakyat tidak boleh mengambil lewa dan berasa selesa. Kita perlu mengetatkan kawalan kendiri kita,” katanya. -Malaysiapost

