Sampaikan mesej ‘kita jaga rakyat’ bukan ‘rakyat jaga rakyat’ – Pemuda PAS

0
1
KUALA LUMPUR 06 JANUARI 2018. Sidang media Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin (tengah) mengenai Mesyuarat Konvensyen Pas bakal diadakan pada 24 Januari depan di Selangor. Beliau ditemani Bendahari Dewan Pemuda Pas, Mokhtar Suhaili (kanan) dan Pengarah Pilihanraya Dewan Pemuda Pas, Nurul Islam Mohammed Yusoff di Pejabat Pas Negeri di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. NSTP/NIK HARIFF HASSAN

Fitri Nizam

PENGLIBATAN pemimpin dalam membela kebajikan mahasiswa adalah amat diperlukan sekali gus memberi mesej ‘kita jaga rakyat’ bukan ‘rakyat jaga rakyat’, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin.

Justeru, beliau mengajak semua Menteri, Timbalan Menteri, Ahli Parlimen serta ADUN PAS untuk bersama-sama membantu Pemuda PAS untuk meringankan beban ditanggung mahasiswa.

“Biar mereka rasa bahawa kita turut bersama mereka, memahami dan merasai keperitan mereka, dan sentiasa ada dengan mereka.

“Bukan hanya rakyat jaga rakyat, tapi kita jaga rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan itu, Khairil Nizam turut mengumumkan peruntukkan sebanyak RM15,000 daripada Pemuda PAS untuk membantu mahasiswa yang terkesan akibat penangguhan kemasukan ke sesi pengajian di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

“Semua Pemuda PAS di peringkat kawasan dan negeri diarahkan untuk menyediakan tabung infaq kecemasan khusus serta bantuan keperluan buat mahasiswa yang memerlukan bantuan kewangan atau tempat tinggal di kawasan mereka.

“Tidak kira samada mahasiswa itu tinggal di kawasan tersebut atau yang belajar di institusi pengajian tinggi di dalam kawasan tersebut.

“Selain itu, Pemuda PAS Kawasan dan Negeri juga diarah untuk mendekati persatuan-persatuan mahasiswa dan pimpinan pelajar di universiti berdekatan bagi melihat keperluan yang boleh dibantu untuk meringankan beban mereka,” katanya. -Malaysiapost