Pemuda Umno yakin hubungan baik Tok Mat, Najib tak terjejas 

0
2

LUMRAH politik apabila musuh membuat pelbagai tafsiran mengikut kehendak dan citarasa berhubung pandangan dan komentar oleh mana-mana pemimpin politik lawan.  

Exco Pemuda Umno, Noor Azleen Ambros berkata, musuh sudah tentu menangguk di air keruh memainkan setiap isu mengikut untuk melemahkan Umno dan cuba mencetus sentimen adu domba dalam kalangan pemimpin parti lawan.  

“Apa yang mustahak perkara ini tidak dijadikan sebab untuk menimbulkan syak wasangka dalam kalangan pemimpin, sekali gus alasan untuk mewujudkan perpecahan dan kestabilan dalam parti. 

“Pimpinan dan orang parti perlu terus dan kekal fokus untuk berdepan dengan PRU15,” katanya dalam kenyataan, hari ini.  

Noor Azleen berkata demikian sebagai maklum balas susulan pandangan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan dalam wawancara Asia Times mengenai pendakwaan mahkamah dihadapi bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.  

Dalam temubual eksklusif berkenaan, Mohamad antara lain memberi pandangan dan komentar beliau mengenai prosiding mahkamah dihadapi Najib berkenaan isu SRC International dan 1MDB. 

“Sebagai pimpinan dalam sayap Umno, saya yakin apa jua pandangan dan komentar Tok Mat seperti yang dilaporkan dalam temu bual berkenaan tidak akan menjejaskan hubungan akrab serta persefahaman baik antara Tok Mat dengan Datuk Seri Najib. 

“Keakraban dan persefahaman baik mereka berdua juga telah terbukti dan diterjemahkan dalam banyak kejayaan Umno dan BN dalam siri Pilihan Raya Kecil dan Pilihan Raya Negeri sebelum ini,” katanya.  

Noor Azleen yang juga Ketua Pemuda Umno Pasir Gudang juga percaya kedua-dua pemimpin sentiasa meletakkan kepentingan dan masa depan parti lebih daripada segala-galanya tanpa menjadikan laporan temubual eksklusif Asia Times ini sebagai alasan untuk memulakan sengketa peribadi dan berdusta sesama mereka. 

Semasa wawancaranya bersama Asia Times, Mohamad dilaporkan berkata Najib perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dihukum penjara. 

Memetik laporan Asia Times, dengan tajuk ‘Exclusive: UMNO’s No 2 thinks Najib should go to jail’ Mohamad juga dilaporkan berkata kelesuan negara ketika ini berpunca daripada kegagalan UMNO untuk ‘memberitahu kebenaran’ mengenai skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

Bagaimanapun Mohamad menepis laporan tersebut, sebaliknya menurut bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, Najib sepatutnya mendapat penghakiman yang adil dan bukannya pendakwaan terpilih. 

“Sekiranya saya percaya Najib tidak mendapat perbicaraan adil, bagaimana boleh saya katakan beliau patut masuk penjara. 

“Ia tidak masuk akal,” katanya kepada Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here