Rafizi jangan terlalu obses kejar jawatan – Syed Badli Shah

0
2

BEKAS Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Syed Badli Shah Syed Osman menyifatkan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli angkuh dan sombong kerana mempertikai keperluan audit forensik terhadap keputusan pemilihan parti.

Beliau berkata, Rafizi juga memperlekeh kewibawaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tuduhan kononnya terdapat segelintir mereka yang dekat dengan Presiden PKR itu berusaha menghalang keputusan berkenaan dari diumumkan.

“Pada 15 Mei, Rafizi sendiri mengeluarkan satu kenyataan mengakui terdapat masalah teknikal terhadap proses pemilihan parti yang sedang berlangsung.

“Secara tak langsung beliau memberi gambaran bahawa proses pemilihan parti perlu diperkemaskan supaya dilihat lebih telus dan adil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syed Badli Shah berkata, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dalam satu kenyataan turut mengesahkan terdapat cubaan menggodam keputusan parti.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan tindakan Rafizi membangkitkan seolah-olah audit forensik yang dijalankan sebagai usaha untuk menghalangnya dari menjawat jawatan timbalan presiden.

“Apakah beliau sebenarnya khuatir yang kemenangan beliau akan terjejas jika kepincangan kepada proses pemilihan ini dapat dibuktikan?

“Tiada keperluan untuk parti dilihat terlalu tergesa-gesa mengumumkan kemenangan Rafizi sedangkan terdapat lebih 1,800 bantahan dari akar umbi yang mempertikai ketelusan pemilihan parti,” ujarnya lagi.

Ujar beliau, Rafizi seharusnya meraikan proses audit forensik terhadap keputusan pemilihan dan bukannya menuding jari kearah pihak lain seolah-olah terdapat usaha untuk menyekat kemenangannya.

Dalam pada itu, Syed Badli Shah berkata bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) barisan kepimpinan parti perlu dibentuk segera dengan meletakkan individu yang benar-benar layak dipilih, bukannya mereka yang dipilih kerana manipulasi dan penipuan.

Beliau juga menasihatkan Rafizi tidak terlalu obsess demi mengejar jawatan, sebaliknya jika bekas Ahli Parlimen Pandan itu terbukti dipilih oleh akar umbi, biarlah ia sebagai kemenangan yang telus dan adil.

“Saya juga menggesa audit forensik diadakan secara menyeluruh terhadap keputusan pemilihan termasuk undi atas talian dan keputusannya mesti dibentangkan secara telus demi menjamin kewibawaan parti dalam mempersiap-siagakan jentera demi menghadapi pilihanraya,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here