SIKAP pemilik haiwan ternakan yang tidak mengendahkan sekumpulan lembu masuk ke kawasan kediaman mencetuskan rasa tidak selesa kepada penduduk di perumahan sekitar Putrajaya.
Perbadanan Putrajaya dalam kenyataan berkata, antara rutin pasukan penguatkuasaan adalah menghalau sekumpulan lembu yang menceroboh masuk ke kawasan kediaman.
“Ini antara isu kacau ganggu yang dihadapi oleh penduduk setempat di sini terutama di kawasan persempadanan kawasan pentadbiran Putrajaya.
“Semoga tuan empunya lembu-lembu ternakan ini perihatin dan dapat mengawalnya dari menganggu kesejahteraan kawasan penempatan di sini,” kata kenyataan itu di Facebook, hari ini.
Semakan di ruangan komen mendapati rata-rata netizen mahu pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas berbanding hanya menghalau sekumpulan lembu itu, kerana masalah berkenaan telah berlarutan sekian lama.
Menurut komen salah seorang penduduk di kawasan itu, pihak Perbadanan Putrajaya telah membina pagar di kawasan persempadanan namun pintu pagar masih terbuka.
“Tujuan buat pagar di P20 untuk halang lembu, tapi bila pintu pagar yang ada sentiasa terbuka tak berkunci memang kerja sia-sia. Kesian kat penguatkuasa serta pekebun,” kata Fuad Yahya.
“Rutin menghalau lembu? Sita sahaja kalau dah sampai jadi rutin. Tunggu apa lagi?,” soal Akmal Hisham.
“Tauke lembu banyak syok. Dia lepaskan sahaja lembu.. Perbadanan tolong jaga,” kata Shahrul Nizam. – Malaysiapost
Kunjungi bahagian Resam Hidup untuk baca cerita yang terkini dan menarik

