Di mana keadilan ekonomi? soal Guan Eng

0
1

PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng mendakwa kadar dasar semalaman (OPR) yang bakal dinaikkan Bank Negara Malaysia (BNM) tidak berupaya membendung inflasi yang melanda negara ketika ini.

Menurut bekas Menteri Kewangan itu, inflasi ketika ini bukan berpunca daripada rakyat atau disebabkan permintaan pasaran yang berlebih-lebihan dikenali sebagai “demand pull inflation”.

“Di mana keadilan ekonomi apabila dikhabarkan kadar faedah bank akan dinaikkan untuk mengawal inflasi?

“Apa yang terjadi ialah “cost push inflation” atau inflasi yang disebabkan oleh kekurangan bekalan ekoran kegagalan dasar kerajaan untuk menangani jangkaan kenaikan harga barang, kekurangan pekerja yang serius, gangguan rantaian bekalan ekoran Perang Ukraine dan total lockdown pandemik Covid-19 di China,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, peningkatan OPR akan mengurangkan kuasa membeli rakyat, sekali gus menjejaskan rantaian ekonomi negara.

“Jika kadar faedah bank dinaikkan, peniaga dan rakyat akan kurang wang untuk berbelanja kerana perlu membayar faedah kepada bank lebih tinggi tanpa memberi kesan mengurangkan harga barangan naik.

“Ini tidak wajar dan hanya akan tambah lagi beban kewangan selain menjejaskan pertumbuhan ekonomi. Oleh itu kadar faedah tidak seharusnya dinaikkan bila tidak dijangka mengurangkan kadar inflasi,” katanya.

Pada 11 Mei lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here