OPERASI Loji Rawatan Air (LRA) Kulim Hi-Tech dan LRA Pinang Tunggal/ Sg Petani terpaksa dihenti tugas lewat malam tadi.
Kedua-dua LRA dihenti tugas atau total shutdown masing-masing pada jam 10:50 dan 11:10 malam.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata ini kerana kadar kekeruhan air mentah (NTU) yang tinggi akibat banjir kepala air di Baling.
“Penutupan sementara ini akan menjejaskan 80,000 akaun (Hi-Tech) dan 121,000 akaun pengguna (Pinang Tunggal/Sg Petani),” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Sehubungan itu Muhammad Sanusi berkata, Syarikat Air Darul Aman (SADA) Sdn Bhd akan membuat penghantaran air terawat melalui lori tangki kepada kawasan yang terjejas.
Banjir di Baling telah meragut tiga nyawa dan menjejaskan seramai 1,490 mangsa yang melibatkan 112 keluarga.
Tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka iaitu PPS SMK Jerai, PPS Surau An Nur dan PPS SMK Agama Al Khiriah. – Malaysiapost

