JUSTIFIKASI kerajaan bahawa peningkatan kadar dasar semalaman (OPR) boleh mengurangkan kenaikan kadar inflasi tidak boleh diterima secara konklusif.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ura-ura peningkatan OPR oleh Bank Negara pastinya menambahkan lagi keresahan seluruh rakyat.
“Sebaliknya kerajaan perlu melihat lebih luas di luar kotak bagaimana menghadapi penguncupan ekonomi negara tanpa menyalurkan beban tersebut kepada rakyat secara langsung.
“Ini bukan masa sesuai untuk pertimbang cadangan pembatalan subsidi, pengapungan harga siling dan meningkatkan kadar faedah (OPR) kerana semua ini semua ini bakal meningkatkan kadar inflasi secara langsung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menjelaskan mengenainya, Asyraf Wajdi berkata, peningkatan OPR walaupun kelihatan kecil, tetapi impak kepada rakyat adalah amat besar.
“Sesebuah keluarga yang mempunyai beberapa pinjaman bank seperti pinjaman rumah, kenderaan dan peribadi akan bertambah kos belanja bulanan mereka mungkin ratusan ringgit.
“Peniaga termasuk industri besar yang mempunyai pinjaman perniagaan terpaksa menaikkan harga barang atau perkhidmatan mereka yang pastinya akan dibebankan kepada pengguna iaitu rakyat,” katanya.
Justeru, Asyraf Wajdi menegaskan, peranan kerajaan pada waktu ini sangat penting dalam memastikan kadar inflasi tidak terus meningkat dengan ‘upaya menyeluruh’ bagi memastikan kos-kos berkaitan kehidupan harian rakyat tidak naik.
“Banyak keluhan bahawa pendapatan rakyat dan perniagaan tidak banyak peningkatan, malah ramai yang berkurang semasa pandemik Covid-19.
“Maka sebarang peningkatan kos sara hidup atau kos operasi harian yang tidak seimbang dengan kenaikan pendapatan pastinya menyebabkan kadar inflasi meningkat, termasuklah peningkatan OPR,” katanya.
Sebaiknya Asyraf Wajdi berkata, kerajaan harus merancakkan ekonomi negara dengan meningkatkan perbelanjaan bagi peningkatan dan penambahbaikan infrastruktur, menggalak pelaburan, memudahkan urusan dan prosedur perniagaan, mewujudkan peluang pekerjaan dan tidak mengadakan sebarang langkah yang boleh menyebabkan kos harian rakyat meningkat.
“Hakikatnya, Malaysia dalam proses peralihan fasa endemik di mana seluruh negara termasuk industri, peniaga-peniaga dan semua rakyat sedang bangkit semula memperbaiki keadaan ekonomi mereka.
“Isu kenaikan kos sara hidup harian sudah mula dirasai ramai rakyat termasuk kebimbangan oleh berita kemungkinan penarikan subsidi, pengapungan harga serta ketidakcukupan bekalan barang-barang keperluan harian,” katanya.
Pada 11 Mei lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus. – Malaysiapost

