12 kampung terjejas, 9 rumah dihanyutkan – MB Kedah

0
3

KESELURUHAN 12 kampung di Baling, Kedah terjejas akibat bencana banjir yang berpunca daripada fenomena kepala air, semalam dan setakat ini sembilan rumah dilaporkan musnah.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata jumlah penduduk yang terkesan adalah seramai 627 orang dengan tiga mangsa dilaporkan terkorban.

Beliau berkata, kerosakan kediaman penduduk pula sedang direkodkan, manakala pelbagai infrastruktur rosak antaranya jambatan, jalan raya, tebing sungai dan utiliti.

“Semua mangsa yang dihanyutkan aliran kepala air semalam telah ditemui tersangkut pada timbunan kayu tidak jauh dari tapak rumah mereka yang dibawa arus. Mayat mereka dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

“Keseluruhannya sembilan rumah musnah dihanyutkan arus dan dan lebih lima buah rumah rosak teruk,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan gambar-gambar udara Jabatan Bomba dan Penyelamat, tiada tandak tadahan air masyarakat yang pecah seperti dakwaan yang diterima.

“Tetapi ia ditimbus pasir dan tanah yang dibawa aliran dari tanah tinggi di atas. Aliran air yang terkumpul membentuk alur alur besar, menunjukkan kapasiti air yang banyak terkumpul dan meluru ke bawah serentak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here