MAHKAMAH menolak permohonan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar injuksi interim dikenakan ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menerusi kenyataan pasukan peguam Ahmad Zahid hari ini, Presiden Umno itu juga diperintahkan mahkamah untuk membayar kos perbicaraan sebanyak RM5,000 kepada Dr Mahathir.
“Pada pagi ini, jam 10 pagi, permohonan injunksi interim yang dipohon oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad telah didengar di hadapan yang arif Hakim Datuk Rozana Ali Yusof.
“Mahkamah dalam mendengar permohonan injunksi interim tersebut telah memutuskan bahawa ini bukanlah peringkat bagi pihak-pihak menghujahkan berkenaan merit kes.
“Justeru itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku plaintif dalam tindakan ini perlu membuktikan bahawa kenyataan-kenyataan dibuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad adalah tidak benar,” menurut kenyataan itu.
Mior Nor Haidir dan Muhammad Rafique Rashid Ali Tetuan Haidir & Co mewakili pasukan peguam Ahmad Zahid.
Menurut kenyataan itu, berdasarkan pembelaan justifikasi, komen berpatutan dan perlindungan bersyarat dikemukakan peguam-peguam bagi pihak Dr Mahathir di mahkamah berkeberatan untuk membenarkan perintah injunksi interim yang diminta Ahmad Zahid.
“Kes ditetapkan untuk pengurusan kes bagi tindakan utama pada 23 Ogos 2022,” katanya.
Pada 26 April lalu, Ahmad Zahid memfailkan saman fitnah terhadap Dr Mahathir berhubung dakwaan beliau menggunakan kedudukannya bagi mempengaruhi bekas Perdana Menteri itu untuk mencampuri urusan perbicaraan kes jenayah yang masih berjalan di mahkamah.
Ahmad Zahid mendakwa Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan fitnah dengan niat jahat terhadapnya pada Majlis Pelancaran Aspirasi Parti Pejuang sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 23 Februari lalu.
Ahmad Zahid, 69, menghadapi 12 pertuduhan melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dan kesemua pertuduhan itu sudah dibicarakan di Mahkamah Tinggi. – Malaysiapost

