1,417 mangsa banjir di Baling direkodkan JKM setakat ini

0
2

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah mengambil langkah segera menyalurkan barangan keperluan kepada mangsa-mangsa bencana banjir di Baling, Kedah.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata sebaik menerima maklumat mengenai kejadian bantuan segera disalurkan termasuk barang keperluan dan makanan.

“JKM mengambil langkah segera menyalurkan barangan keperluan kepada mangsa-mangsa seperti selimut, kit kebersihan dan sebagainya.

“Makan dan minum mangsa-mangsa telah diuruskan oleh pihak JKM dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Baling, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kupang dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, berdasarkan laporan yang diterimanya, hujan lebat yang berlaku di sekitar Baling mulai jam 2 petang semalam menyebabkan limpahan air Sungai Kupang.

“Susulan itu lebih 11 kampung terjejas. Sehingga kini tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka mulai jam 9 malam tadi.

“Seramai 1,417 mangsa direkodkan buat masa ini iaitu 200 di Sekolah Kebangsaan (SK) Jerai dan 1,038 di Sekolah Menengah Agama (SMA) Yayasan Khairiah Kupang dan 179 mangsa di Surau An-Nur, Taman Mesra, Kupang,” katanya. 

Rina berkata, pendaftaran mangsa-mangsa sedang giat dijalankan oleh pihak JKM yang turut memberikan perkhidmatan intervensi krisis dan sedang dijalankan oleh Kaunselor JKM.  

“Saya berdoa semoga urusan semua mangsa dan keluarga terlibat dipermudahkan.

“Untuk maklumat terkini berkaitan bencana banjir sila muat turun InfoBencana di aplikasi InfoBencana atau laman web,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here