MFL akui benarkan kemasukan ahli keluarga pemain

0
4

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) membawa masuk ahli keluarga pemain dalam skala kecil untuk menyaksikan aksi bertemu Sabah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, berkata JDT telah membuat permohonan rasmi kepada MFL untuk membawa masuk ahli keluarga pemain berskala kecil bersempena penyerahan trofi CIMB Liga Super kepada JDT.

Justeru, beliau berkata, MFL membenarkan kemasukan ahli keluarga pemain tidak melebihi 100 orang.

“Oleh kerana perlawanan ini merupakan perlawanan yang menentukan juara CIMB Liga Super dan akan diadakan penyerahan piala liga, pihak JDT ada membuat permohonan rasmi dengan MFL untuk membawa sejumlah ahli keluarga pemain untuk memasuki stadium.

“Hasil perbincangan bersama setelah melihat struktur lokasi dan sambutan kejuaraan, MFL bersetuju untuk membenarkan kemasukan ahli keluarga pemain berskala kecil dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan seperti pemeriksaan suhu badan di pintu masuk dan penjarakan fizikal di dalam stadium,” katanya dalam kenyataan rasmi, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ab Ghani berkata, kelulusan khas itu diberikan selepas melihat segala aspek pematuhan SOP khusus untuk kumpulan ahli keluarga pemain JDT ini telah dipatuhi sepenuhnya.

“Saya menyangkal di mana terdapat satu gambar tular yang menunjukkan peminat masuk ke stadium beramai-ramai dan itu adalah perkara tidak benar.

“Ini kerana tidak ada mana-mana peminat masuk dan hanya ahli keluarga pemain JDT berskala kecil sahaja berada dalam stadium selain pegawai-pegawai yang bertugas dalam stadium,” katanya. -Malaysiapost