VOKALIS kumpulan Arrow, Ringgo dilaporkan terbabit dalam kemalangan jalan raya bersama dua anaknya di Pasir Putih, Kelantan.
Menerusi satu hantaran di akaun Facebook milik Khairul Amizi Husin, memaklumkan penyanyi tersebut terlibat dalam kemalangan semalam.
Ringgo atau nama sebenar Mohd Zain Ramli dikatakan dalam perjalanan pulang dari kediaman Khairul Amizi dan semasa kemalangan berlaku penyanyi itu memandu kenderaan jenis Toyota X-Gear.
Difahamkan, kenderaan yang dimenanginya sewaktu menyertai program realiti Kilauan Emas musim keempat itu remuk di bahagian hadapan.
“Penyanyi Ringgo Arrow kemalangan di Pasir Putih. Beliau dalam perjalanan balik selepas mengunjungi saya di rumah.
“Kereta terlibat yang dimenangi Konsert Kilauan Emas 4 dahulu. Beliau bersama dua orang anak lelakinya.
“Anaknya Syahid mengalami luka ringan, mohonkan yang terbaik buat beliau,” tulisnya.
Namun melalui semakan terkini Malaysiapost, hantaran tersebut telahpun dipadam.
Bagaimanapun, menurut satu laporan media, Ringgo dan anak-anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan tersebut.
Beliau juga tidak mahu mengulas apa-apa mengenai kemalangan itu atas sebab-sebab tertentu.
Ringgo bersama kumpulannya, Arrow menempa nama sekitar awal tahun 1990an.
Antara lagu dendangan mereka yang popular sehingga kini adalah Sendu Di Hatimu dan Niat Hati Tak Nak Berpisah.
Ringgo menggunakan nama Zain, kerana tidak mahu dibayangi Arrow dan membuat kemunculan menerusi pertandingan program Kilauan Emas musim keempat dan berjaya mendapat tempat kedua.
Ketika dinobatkan sebagai naib juara Kilauan Emas musim keempat, dia membawa pulang RM50,000, sebuah kereta Toyota X-Gear, trofi dan pakej pelancongan. – Malaysiapost

