DATUK Seri Najib Razak menggesa Tan Sri Tommy Thomas memberi penjelasan mengapa pendakwaan kes pembantu rumah warga Indonesia, Adelina Lisao yang mati dipercayai didera majikan, ditarik balik ketika beliau memegang jawatan sebagai Peguam Negara.
Bekas Perdana Menteri itu, berkata Adelina yang berusia 26 tahun ketika itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam selepas diselamatkan dalam keadaan cedera parah dari rumah majikannya.
Katanya, majikan itu, M A Ambika telah didakwa atas tuduhan membunuh pada Februari 2018 sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Tetapi pada 2019 ketika Jabatan Peguam Negara diketuai oleh lantikan Pakatan Harapan (PH), Tommy Thomas, pendakwaan secara mengejut telah menarik balik dakwaan ke atas tertuduh di Mahkamah Tinggi dan memohon mahkamah mengeluarkan perintah dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).
“Oleh sebab pihak pendakwaan tidak memberi sebarang sebab kenapa dakwaan telah ditarik balik, hakim mahkamah tinggi telah menggunakan budi bicaranya untuk melepas dan membebaskan Ambika (DAA),” katanya menerusi Facebook.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, setelah menerima kecaman orang ramai dan tekanan keras dari negara jiran, pendakwaan merayu agar tertuduh hanya dilepaskan tetapi tidak dibebaskan biarpun pendakwaan telah ditarik balik.
“Namun pendakwaan kalah di peringkat mahkamah rayuan. Dan kalah lagi di peringkat Mahkamah Persekutan pada Khamis lalu,” katanya.
Tambahnya, Mahkamah Persekutuan menyatakan kekalahan itu adalah kerana pihak pendakwaan tidak pernah memberi alasan kepada mahkamah alasan dakwaan ditarik balik.
“Kami telah meneliti rekod rayuan, tiada alasan diberikan oleh pendakwaan (di Mahkamah Tinggi), kata Hakim Vernon, sambil menambah perintah DNAA itu hanya boleh dikeluarkan jika alasan yang kukuh diberikan.
“Individu yang dilepas dan dibebaskan atas kesalahan, tidak boleh didakwa semula bagi kesalahan sama manakala bagi perintah DNAA, seseorang itu boleh didakwa semula di kemudian hari,” kata Najib memetik laporan media.
Justeru, Najib berkata, tertuduh tersebut dibebaskan secara muktamad dan tidak boleh lagi didakwa atas caj membunuh.
“Dengan ini juga, tiada seorang yang pernah bertanggungjawab atas penderaan dan kematian Adelina.
“Susulan keputusan itu, ramai yang kecewa dan tidak faham kenapa ini boleh berlaku. Rakyat negara jiran Indonesia cukup kecewa dan marah dengan keputusan ini,” katanya.
Sehubungan itu, Najib berkata, keputusan yang dibuat pihak terbabit seperti menunjukkan keadilan di Malaysia seolah-olah tidak wujud.
“Saya dan ramai di Malaysia turut cukup simpati dengan kisah malang Adelina Lisao ini.
“Jadi, ianya wajar untuk Tommy Thomas memberi penjelasan kenapa dakwaan telah ditarik balik tanpa alasan diberi kepada mahkamah ketika dia menjawat sebagai Peguam Negara,” katanya.
Dalam pada itu, Najib turut mempersoalkan adakah patut majikan didakwa semula atas caj-caj lain.
“Bagi peguam negara hari ini pula, penderaan atau melakukan penderaan memandangkan caj membunuh tidak terpakai lagi?,” katanya. – Malaysiapost

