AHLI Parlimen Bagan, Lim Guan Eng secara sindirian menyifatkan bantuan RM100 yang diumumkan kerajaan untuk menampung kos sara hidup rakyat hakikatnya mampu diberikan seorang wakil rakyat.
Bekas Menteri Kewangan itu, berkata sekiranya seorang Ahli Parlimen mampu untuk memberi bantuan RM100 kepada rakyat tanpa perlu mengumumkannya di saluran televisyen, tidak mungkin Perdana Menteri tidak mampu memberi ‘lebih’.
Jelasnya lagi, tidak mungkin kerajaan tidak mengetahui bahawa bantuan RM100 itu tidak mencukupi untuk membantu rakyat menghadapi kesan kenaikan kos sara hidup ketika ini.
“Sekiranya Ahli Parlimen pun boleh berikan bantuan tambahan demi menghadapi kenaikan kos sara hidup takkan seorang Perdana Menteri tak boleh bagi lebih. Sampai buat pengumuman ucaptama kat TV nasional.
“Takkan seorang Perdana Menteri tak tahu bantuan tambahan sebanyak RM100 tak mampu hadapi kenaikan kos kekangan hidup untuk satu keluarga. Keluarga Malaysia bernilai lebih daripada RM100 ini,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, Guan Eng memaklumkan, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan meneruskan pemberian bantuan kewangan sebanyak RM100 kepada 50 penerima di bawah MPKK Taman Bagan.
Jelasnya, bantuan itu bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat terutama kepada kumpulan B40.
Khamis lalu, kerajaan mengumumkan bantuan tunai tambahan kepada Keluarga Malaysia yang terkesan akibat cabaran kos sara hidup terutama ketika kerajaan tidak lagi memberikan subsidi ayam, telur dan harga barang makanan lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan menyediakan bantuan tunai itu kepada golongan berpendapatan rendah (B40) sebanyak RM100 untuk seisi rumah dan RM50 untuk golongan bujang.
“Ini mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang makanan kebelakangan ini,” katanya. – Malaysiapost

