TINDAKAN kerajaan yang melakukan pusingan- U dalam mengendalikan isu harga ayam dan telur didakwa akan menjejaskan keyakinan rakyat termasuk penternak serta menjejaskan pasaran industri itu.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri telah membuat pusingan-U terbesar dalam mengendalikan isu berkenaan iaitu membabitkan peruntukan sebanyak RM630 juta.
“Pada 21 Jun, beliau membuat sidang media tergempar mengumumkan penambahan BKM sebanyak RM100 untuk keluarga B40. Penambahan ini bertujuan mengatasi kenaikan harga ayam dan telur susulan pemansuhan harga kawalan pada 1 Julai 2022,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, bantuan kewangan yang diumumkan itu bagi meredakan kemarahan rakyat terhadap isu kenaikan barang.
“Rakyat sudah tentu berasa marah kerana tambahan RM100 itu jika dibahagikan enam bulan, setiap keluarga B40 hanya mendapat tambahan RM16.67 sebulan sahaja. Hanya cukup membeli setengah ekor ayam sahaja.
“Kemarahan rakyat itulah menyebabkan kerajaan mungkin ‘chicken out’ (takut) dalam masalah ‘chicken’ (ayam) ini.
“Maka, kurang daripada 72 jam, PM cepat-cepat mengumumkan U-Turn dan meneruskan kawalan harga,” katanya.
Tze Tzin berkata, tindakan pusingan-U itu menunjukkan kelemahan dan tidak konsisten kerajaan.
“Dasar kerajaan juga tidak dirangka dengan objektif yang jelas, proses yang professional dan melibatkan semua pihak termasuk ‘stakeholders’.
“Perdana Menteri mempunyai Menteri dan Timbalan Menteri seramai 69 orang. Kenapa tidak seorang pun berupaya memahami secara mendalam punca kenaikan harga ayam?
“Majlis Tidakan Kos Sara Hidup NACCOL dipengerusikan oleh PM sendiri dan dianggotai oleh Menteri hebat-hebat daripada BN, PN dan GPS dan GRS. Takkan tak berupaya mencari penyelesaian yang tuntas,” katanya.
Beliau berkata, tindakan pusingan-U itu telah menyebabkan keyakinan rakyat, industri ternakan dan pasaran terjejas.
“Rakyat tidak yakin bila harga ayam akan naik. Malah, penternak tidak yakin bila subsidi akan dihentikan atau diteruskan serta pasaran tidak menentu kerana dasar kerajaan sering berubah-ubah,” katanya.
Semalam, kerajaan memutuskan harga ayam di pasaran negara tidak akan diapungkan.
Justeru, Perdana Menteri berkata, harga siling baharu akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Jelasnya, keputusan itu adalah keprihatinan kerajaan supaya rakyat tidak dibebani tekanan berpunca kenaikan kos sara hidup ketika ini. – Malaysiapost

