Pemimpin negara ucap takziah kepada keluarga Vui Keong

0
3

BARISAN pemimpin negara menzahirkan ucapan takziah atas kematian Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong, hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau
mengenali mendiang sebagai seorang yang berdedikasi dengan tugas dan tanggungjawab.

“Bagi pihak kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas sumbangan mendiang sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini,” katanya di Facebook.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jasa dan pengorbanan mendiang akan terus di kenang rakyat dan negara.

“Semoga mereka tabah dan diberi kekuatan menempuh dugaan ini.

“Jasa dan pengorbanan mendiang ketika menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) akan terus dikenang rakyat dan negara,” katanya menerusi Twitter.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau sedih dan terkejut dengan perkhabaran berita berkenaan.

“Salam takziah kepada keluarga mendiang. Semoga mereka diberi kekuatan menghadapi segala dugaan,” katanya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, mendiang seorang bekas menteri PH yang berdedikasi dan cukup komited terhadap usaha reformasi perundangan, termasuk berkait reformasi sistem penjara serta hukuman gantung.

“Pemergian beliau satu kehilangan besar buat Dewan Rakyat dan persada politik tanah air. PKR mendoakan agar keluarga mendiang akan diberi ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan besar ini,” katanya.

Sementara, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menerusi Twitternya berkata, beliau sedih menerima berita tersebut.

“Sangat sedih menerima berita kematian Datuk VK Liew. Dia dengan tulus menyokong pembaharuan penjara; selalu mempunyai masa untuk berunding dan melibatkan diri terutama dalam usaha menghapuskan hukuman mati.

“Seorang yang baik dan penyabar. Takziah,” katanya.

Vui Keong meninggal dunia pada jam 11.50 pagi tadi dipercayai akibat jangkitan paru-paru.

Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada usia 60 tahun ketika menerima rawatan di Hospital Gleanegles Kota Kinabalu.

Vui Keong yang juga Pengerusi Tetap Parti Warisan Sabah tidak kelihatan sejak pengumuman calon parti itu kira-kira dua minggu lalu.

Mendiang yang berasal dari Kota Belud, dipilih sebagai Ahli Parlimen Batu Sapi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu meninggalkan isteri, Datin Dr Lindai Lee dan empat anak. -Malaysiapost