Covid-19: Ketepikan perebutan kuasa, utamakan rakyat

0
1

TAN Sri Annuar Musa meminta semua ahli politik tidak mengira parti mengetepikan dahulu perebutan kuasa dan mengutamakan keselamatan rakyat susulan peningkatan kes Covid-19 di Malaysia.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu, berkata ketika ini negara masih bergelut memerangi penularan Covid-19.

“Jangan pandang ringan perkara ini dan jangan pula kita mendahulukan perebutan kuasa politik.

“Menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melindungi nyawa dan keselamatan rakyat,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tinjauan dibuat Astro Awani yang mendapati lebih 80 peratus warganet tidak bersetuju jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, beliau bersetuju dengan pandangan berkenaan berdasarkan pengalamannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

“Adalah sukar untuk memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan masyarakat.

“Sewaktu saya mengendalikan jentera pilihan raya di Sabah, memang berlaku ketidakpatuhan terhadap SOP dan apabila mereka pulang ke Semenanjung berlaku penularan wabak itu di sini,” katanya.

Sementara itu, Annuar menasihati warga kota mengamalkan Kawalan Pergerakan Sukarela yang diterjemahkan sebagai “meminimumkan pergerakan kepada yang perlu sahaja.”

“Contohnya, saya sendiri hanya pergi pejabat untuk perkara penting dan jika tiada apa-apa saya kurangkan pergerakan. Ini bukan bermakna kuarantin tetapi mengawal,” katanya.

Semalam, sebanyak 260 kes Covid-19 dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia sekali gus merupakan jumlah kes terbaharu kedua tertinggi di negara ini. -Malaysiapost