Abdul Hadi tak layan kenyataan Adun Kepayan

0
3

KUALA LUMPUR, 1 Mac -- Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bercakap pada sidang media bersama para Pimpinan PAS Pusat berikutan perkembangan isu politik semasa di Malaysia hari ini. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang enggan melayan kenyataan Adun Kepayan, Jannie Lasimbang yang mengatakan parti itu tidak terbuka terhadap kepercayaan lain dan mengganggu keharmonian agama dan kaum di Sabah.

“Saya tak mahu layan,” katanya ringkas ketika ditemui media.

Kelmarin, Adun DAP itu dilaporkan menyuarakan kebimbangannya terhadap cadangan melantik wakil PAS menyertai kabinet kerajaan negeri yang dibentuk.

Beliau berkata, pelantikan wakil PAS dalam kabinet akan mengakhiri keharmonian agama dan etnik yang dinikmati serta dipupuk oleh orang-orang Sabah.

Katanya, PAS selalu mengambil pandangan melampau yang didakwa akan memudaratkan semua agama, termasuk Islam, Kristian, Buddha, Tao, Hindu atau kepercayaan orang asal.

“Jika, ahli PAS yang dilantik itu kemudian dilantik sebagai menteri yang menjaga Hal Ehwal Anak Negeri di Sabah, orang asal Sabah akan diabaikan kerana PAS adalah parti ultra-Melayu yang tidak menegakkan atau menghormati pluraliti budaya,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris mencadangkan agar kerajaan baru negeri melantik wakil pemimpin mereka seperti PAS untuk menganggotai kabinet atau DUN.

Razali pula berkata lantikan tersebut harus dibuat sebagai tanda penghargaan kepada parti itu yang melakukan pengorbanan tidak meletakkan calon pada PRN Sabah ke-16. -Malaysiapost