PH sedia hadapi PRU mengejut

0
3

PKR dan Pakatan Harapan (PH) sudah bersiap sedia jika Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan secara mengejut dalam masa terdekat, kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Bagaimanapun, beliau berkata, PH dan PKR sebolehnya tidak mahu PRU ke-15 berlangsung ketika wabak Covid-19 masih menjadi ancaman dan keadaan ekonomi yang masih lemah.

Namun, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, parti-parti dalam PH telah memulakan perancangan menghadapi PRU.

“Banyak rundingan agihan kerusi, misalnya, sudah dimulai dan beberapa jentera sudah siap sedia.

“Rumusannya adalah kerusi yang pernah dimenangi sebelum ini dan juga kerusi tradisional, tidak akan dipersoalkan.

“Pada ketika ini, saya percaya kita lebih bersedia dari segi kerusi kita, jadi kita akan lebih bersedia daripada Bersatu dan beberapa pihak lain,” katanya seperti dilaporkan Malay Mail.

Fahmi berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah telah mengubah pandangan banyak Ahli Parlimen PH kerana ia memberikan gambaran keseluruhan mengenai sentimen penyokong.

“Sabah merupakan peluang bagi kami untuk mengaktifkan jentera kami di peringkat pusat dan kami berjaya malakukan beberapa perkara utama walaupun ada orang bertanya mengapa kami tidak bertanding di bawah logo Warisan.

“Jika anda melihat Sook, Sabah pada PRU-14, ketika Warisan bertanding dengan logo mereka, mereka hanya mendapat 18 peratus undi.

“Kali ini dengan logo PKR, calon kami mendapat 32 peratus undi. Itu adalah peningkatan sokongan yang cukup besar,” katanya.

Pada masa yang sama, Fahmi mengatakan bahawa persediaan pilihan raya menjadi fokus utama ketika PH bersiap sedia untuk PRN Sarawak yang dijadualkan pada bulan September tahun depan.

“Sama ada kita suka atau tidak, menjelang tahun depan itu akan terjadi,” katanya.

Namun, Fahmi berkata, PRU pada masa ini tidak diperlukan dan sebaliknya, Ahli Parlimen itu berpendapat semua parti perlu melakukan gencatan politik.

“Bagi saya, cara untuk menyelesaikan kebuntuan politik, masalah ketidakstabilan politik adalah melalui penyelesaian politik.

“Sama ada ahli parlimen hadir dengan gencatan senjata sesuatu yang dicadangkan oleh Anthony Loke atau anda membenarkan pertukaran kuasa secara aman kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Loke adalah Ahli Parlimen Seremban DAP dan Anwar adalah Presiden PKR, Ahli Parlimen Port Dickson dan juga ketua Pembangkang. -Malaysiapost